Cabang PKR di Negeri Sembilan turut buat laporan polis terhadap Najib - Utusan Malaysia

Cabang PKR di Negeri Sembilan turut buat laporan polis terhadap Najib

MOHAMAD Afif Anuar (enam dari kiri) bersama Romli menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat mereka di IPD Seremban di Seremban 2, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Gesaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli supaya semua pimpinan dan cabang parti itu di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut disahut cabang-cabang PKR di Negeri Sembilan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Seremban, Mohamad Afif Anuar berkata, pihaknya juga tidak ketinggalan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Seremban 2 di sini petang tadi.

“Kami pada hari ini juga membuat laporan polis berkenaan kecuaian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menyebabkan negara berhadapan dengan tuntutan RM67.5 bilion dari waris Kesultanan Sulu.

“Menerusi laporan polis ini kami meminta pihak berkuasa untuk menyiasat beliau. Kami juga menyeru seluruh rakyat khususnya di Seremban, tidak kira latar belakang parti polilik, agama atau kaum untuk membuat laporan polis ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis berkenaan.

Turut hadir ketika membuat laporan tersebut ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Romli Ishak dan Timbalan Ketua PKR Cabang Seremban, Aliudin Mohamed Salleh.

Sebelum ini Rafizi meminta semua pimpinan dan cabang parti di seluruh negara membuat laporan polis berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri itu sehingga membawa tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Menurut beliau, undang-undang negara memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang cuai dalam menjalankan tugas awam.

Beberapa cabang PKR lain di negeri ini turut sama membuat laporan polis dalam isu yang sama seperti Cabang PKR Rembau yang membuat laporan di IPD Rembau dan Cabang PKR Port Dickson di IPD Port Dickson. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya