Bukan saya, Ahmad Bashah yang benar tanam durian - Mukhriz

Bukan saya, Ahmad Bashah yang benar tanam durian – Mukhriz

Ahmad Bashah Md. Hanipah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa, penanaman durian Musang King di ladang hutan di Gunung Inas, Baling, Kedah, dibuat seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Katanya, Ahmad Bashah yang memimpin kerajaan negeri dari Februari 2016 hingga Mei 2018 bertindak menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian Musang King.

Jelasnya, anak syarikat kerajaan Kedah, Kedah Agro Sdn. Bhd. diamanahkan menanam semula kawasan terbabit namun gagal melaksanakannya.

“Selepas itu, Aman Mega Sdn. Bhd. dilantik untuk mengambil alih tanggungjawab itu, tetapi syarikat itu dibeli oleh syarikat ECK.

“Ketika pentadbiran Ahmad Bashah, ECK dibenarkan menanam durian,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, apabila beliau kembali dilantik sebagai Menteri Besar pada 2018, usaha mengehadkan penanaman durian hanya mencapai 20 peratus.

Katanya,, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membenarkan peratusan itu untuk tanaman selain TLC dan tujuh spesies pokok hutan yang lain.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan penanaman durian bukan punca bencana banjir semata-mata, sebaliknya kawasan Hutan Simpan Kekal di Gunung Inas berisiko tinggi apabila ditukar status kepada ladang pertanian pada 2007 dan dijenamakan sebagai Ladang Sejahtera pada 2008.

“Perlu diingatkan sekali lagi bahawa penanaman semula walaupun membabitkan kerja teres tanah, bukanlah punca hakisan tanah dan banjir.

“Bencana itu tidak akan berlaku sekiranya hutan simpan tidak disentuh untuk tujuan pembalakan pokok bernilai tinggi dan aktiviti tebang bersih atas alasan Ladang Sejahtera sebelum 2013,” katanya.

kartel
MUKHRIZ MAHATHIR

Mukhriz turut mempersoal sama ada Kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dibuat ketika itu.

“Yang ditebang bukan hanya pokok bernilai tinggi, tetapi ditebang bersih atau cuci mangkuk untuk penanaman semula pokok TLC atau pokok hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

“Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Pas seperti yang diakui oleh menteri besar sendiri. Sekitar 2012 hingga 2013, saya antara pihak yang membantah projek Ladang Sejahtera di Kedah, bukan kerana pokok yang hendak ditanam, tetapi kerana hutan simpan digondolkan,” katanya.

Justeru, beliau berharap supaya tiada lagi pihak yang membuat tuduhan terhadapnya dan kerajaan negeri yang beliau terajui sebelum ini.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, menafikan pihaknya terlibat dalam projek itu, sebaliknya menyalahkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Mukhriz selaku Menteri Besar pada 2013 hingga 2016 dan 2018 hingga 2020. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya