Bukan petugas UTK kasari pengamal media - Utusan Malaysia

Bukan petugas UTK kasari pengamal media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada petugas Unit Tindakan Khas (UTK) terlibat dalam kejadian kekasaran dengan tiga petugas media dalam sebuah majlis di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dalam satu kenyataan berkata, siasatan sedang dijalankan PDRM bagi mengenal pasti individu-individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Kata beliau, tindakan tegas tanpa kompromi  diambil sekiranya siasatan mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana petugas keselamatan semasa menjalankan penugasan dalam majlis tersebut.

“PDRM telah ambil maklum kenyataan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang mendakwa tiga pengawal media dikasari oleh individu didakwa ahli UTK.

“PDRM sentiasa menghargai pengamal-pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar luas informasi kepada masyarakat, khususnua bagi memerangi jenayah,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Noorsiah, hubungan erat pengamal media dan PDRM selama ini akan dikekalkan agar masyarakt mendapat maklumat yang tepat melalui sumber yang sahih.

Terdahulu, GERAMM mengecam kejadian kekasaran terhadap tiga petugas media dipercayai melibatkan anggota pasukan keselamatan dalam majlis pelancaran Perikatan Nasional Kelantan di Tanah Merah.

Dalam kejadian itu, seorang wartawan lelaki  mendakwa telah ‘ditampar’ di bahagian perut, manakala seorang lagi wartawan wanita mendakwa ‘dicengkam leher’.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika mereka berada di bawah pentas utama yang membariskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dua pemimpin kanan Bersatu yang juga merupakan menteri, Datuk Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kedua-dua wartawan mendakwa telah dikasari oleh pengawal peribadi atau anggota UTK  yang cuba menghalang mereka dari berada di sekitar tangga pentas untuk mengambil gambar gimik pelancaran.

Difahamkan, seorang lagi wartawan juga telah ditolak dengan kasar bagi menghalang dari mendekati barisan pemimpin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN