030722-Sbh-zahidBN

BN Sabah jadi lebih kuat sebagai satu entiti khas

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kedudukan Barisan Nasional (BN) Sabah akan bertambah kukuh apabila ia muncul sebagai satu entiti yang akan menggabungkan beberapa parti politik Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan beberapa klausa dalam Perlembagaan BN akan dilakukan bagi membolehkan BN Sabah muncul sebagai satu entiti khas yang membenarkan parti-parti lain menyertai BN, selain daripada parti teras iaitu UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Beliau berkata, pindaan klausa itu akan dibawa dan dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN untuk pengabsahan.

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama barisan kepimpinan tertinggi BN yang hadir pada Konvensyen BN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

“Pada masa ini, kuasa autonomi hanya diberikan kepada UMNO Sabah. Bagi autonomi BN Sabah, kita perlu pindah salah satu klausa Perlembagaan BN yang bersesuaian bagi meletakkan BN Sabah sebagai satu entiti khas.

“Walau bagaimanapun, perkara berkaitan ahli Parlimen yang mewakili BN masih tertakluk kepada BN Malaysia untuk perincikan.

“Bukan beri autonomi bagi calon ahli Parlimen yang mewakili BN di 25 Parlimen Sabah, itu masih tertakluk kepada BN Pusat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen BN Sabah hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pada masa ini terdapat empat parti termasuk satu parti daripada Sabah memohon menyertai BN. Namun, permohonan mereka belum diputuskan dan akan diberi pertimbangan apabila tiba masanya.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN Sabah hanya dianggotai oleh empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Mengulas lanjut katanya, BN akan memastikan tidak lagi terpedaya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.

Beliau berkata, BN tidak mahu lagi berhadapan dengan situasi yang sama maka, menjelang PRU-15, mereka akan lebih berhati-hati agar rakyat akan kembali kepada BN.

Justeru, sentimen dan emosi rakyat perlu diterjemah melalui undi dan bukan mengikut perasaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, BN memenangi 14 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya menenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walau bagaimanapun, memandangkan Perdana Menteri pada masa itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu maka, Ketua Menteri Sabah juga dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya