Berkualiti, halal tarikan penduduk Thailand

Berkualiti, halal tarikan penduduk Thailand

MINYAK masak peket bersubsidi Malaysia dijual secara meluas di Pekan Sungai Golok, Thailand. -FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI GOLOK (Thailand): Barang-barang bersubsidi dari Malaysia menjadi pilihan rakyat selatan Thailand sejak berpuluh tahun kerana murah, berkualiti dan lebih penting halal.

Justeru, penyeludupan se­perti minyak masak peket, petrol, diesel, gula, susu pekat dan tepung bukan pelik di sebalik Malaysia berusaha habis-habisan menyekat ketirisan barang bersubsidi tersebut.

Malah ada rakyat negara ‘Gajah Putih’ ini membesar dengan barangan subsidi Malaysia yang diseludup secara haram melalui jalan-jalan tikus di sepanjang tebing Sungai Golok.

Perkara itu diakui Sen, 45, yang memberitahu hampir semua penduduk selatan Thailand ‘membesar’ dengan bara­ngan bersubsidi Malaysia yang dibawa masuk menerusi aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, pembelian dan penggunaan minyak masak peket, bahan api iaitu petrol dan diesel, gula, dan susu pekat sudah sebati kerana sudah terdedah dengan barangan ini sejak kecil.

Katanya, rata-rata penduduk di selatan Thailand bergantung kepada barangan-barangan ter­sebut walaupun ketika Malaysia berusaha menyekat kemasukannya ke sini.

“Terus terang saya katakan, kesemua barang-barang ini amat membantu. Bukan saha­ja murah tetapi ia berkualiti sekali gus menepati cita rasa penduduk di sini berbanding keluaran tempatan.

“Sebagai contoh minyak ma­sak peket Malaysia berkuali­ti biarpun dijual bermula RM6 hingga RM6.50. Lagipun mi­nyak peket Malaysia tidak mudah hitam walaupun dua kali sudah digunakan untuk menggoreng,” katanya.

Sen yang bekerja sebagai buruh kampung memberitahu, kebiasaan dia akan membuat belian secara kecil-kecilan tetapi kerap untuk dijadikan sebagai stok.

Katanya, penyimpanan stok barangan subsidi ini mampu menjimatkan perbelanjaan se­tiap bulan dalam membesarkan lima anak yang masih bersekolah.

“Ada kalanya bila kesempitan wang, saya akan menjual barangan-barangan ini kepada jiran-jiran yang memerlukan. Hal ini kerana mereka tidak perlu lagi keluar ke kedai runcit atau pekan untuk membelinya,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk Aisoh, 55, berkata, faktor halal menjadi penyebab utama penduduk selatan Thailand bermula dari Sungai Golok hingga Yala memilih untuk menggunakan barangan subsidi Malaysia.

Katanya, status halal Malaysia tidak pernah diragui oleh umat Islam di Thailand kerana ia diiktiraf oleh dunia.

“Tengok sahaja logo tulis perkataan halal Malaysia, kami memang akan beli. Lagipun orang Thailand percaya kerajaan Malaysia amat serius dalam aspek pemakanan halal.

“Sebab itu kami amat menyukai produk halal walaupun masuk secara haram ke negara ini. Masuk sahaja haram kerana lari dari cukai kerajaan, tetapi kandungan dan cara penyediaan makanan itu halal,” katanya.

Sementara itu, Ding, 33, berkata, kemasukan barangan subsidi Malaysia amat membantu merancakkan lagi perniagaan makanan di premisnya.

Katanya, sejak menggunakan minyak masak peket Malaysia di banyak menikmati penjimatan diluar jangka walaupun dijual oleh pemborong pada harga yang agak tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN