Beri pengecualian ahli Parlimen Bebas sertai parti politik

Beri pengecualian ahli Parlimen Bebas sertai parti politik

LARRY SNG WEI SHIEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen yang bertanding secara bebas kemudian menyertai parti politik pada masa yang dirasakan sesuai perlu diberi pengecualian dalam peruntukan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai larangan bertukar parti.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien berkata, calon bebas yang menang tanpa watikah sesebuah parti, menggunakan logo, moto, kewangan atau jenama parti kemudian menyertai parti politik tidak boleh dikira sebagai lompat parti.

“Ini kerana secara teknikal dan realitinya, wakil rakyat bebas itu masih membawa mandat rakyat yang mereka peroleh ketika pilihan raya. Tiada keperluan mereka mengosongkan kerusi.

“Mandat rakyat adalah kepada calon tersebut, maka seseorang calon boleh terus menjadi wakil rakyat di kawasan mereka,” katanya semasa perbahasan usul di Dewan Rakyat petang semalam.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata, pengecualian terhadap wakil rakyat Bebas menyertai parti politik juga melihat suasana politik negara yang mempunyai sikap politik pelbagai.

“Ada pengundi mengundi kerana sokongan padu kepada parti yang mereka sokong berdasarkan fahaman ideologi.

“Ada juga yang memberi undi kepada parti kerana dirasakan parti itu mampu menawarkan pakej perkhidmatan rakyat yang meyakinkan untuk mereka.

“Ada juga pengundi mengundi calon bebas berteraskan personaliti dan sahsiah yang baik ditonjolkan oleh calon bebas tersebut, malah, berdasarkan jejak rekod perkhidmatan cemerlang di kawasan masing-masing,” katanya.

Wei Shien merupakan wakil rakyat yang memenangi Parlimen Julau, Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di atas tiket Bebas, dengan undi 10,105 menewaskan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS), Joseph Salang Gandum.

Dalam tempoh dua dekad, sudah banyak parti politik disertainya bermula dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), ke PRS, kemudian Parti Pekerja Sarawak (SWP), seterusnya Bebas, diikuti PKR, keluar parti dan menjadi Bebas kembali.

Terkini, beliau menerajui PBM yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin merupakan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malah pernah bersama PKR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan mengenai peruntukan ahli Dewan Rakyat bertukar parti semalam memaklumkan, ahli Dewan Rakyat yang menang pilihan raya namun bertukar parti politik atau meninggalkannya untuk menjadi ahli Bebas akan terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN