KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri hari ini mencadangkan semula usul lanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan untuk lima tahun lagi bermula 31 Julai ini.
Tempoh kuat kuasa subseksyen itu dihadkan kepada lima tahun sahaja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang dalam penguatkuasaannya, bagaimanapun, ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, subseksyen itu perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam selain memberi ruang masa cukup kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan proses siasatan.
Katanya, walaupun akta itu memperuntukkan 28 hari untuk melakukan siasatan, namun, pihak polis hanya mempunyai 21 hari untuk berbuat demikian kerana perlu menyerahkan kertas siasatan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara, tujuh hari sebelum tamat tempoh 28 hari itu.
“Dalam tempoh siasatan tersebut juga, pihak polis perlu mengkaji segala maklumat hasil siasatan mahupun mendapatkan maklumat dari agensi-agensi penguatkuasa yang lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Tempoh ini amat kritikal di mana agensi yang dirujuk tersebut perlu membekalkan maklumat diperlukan oleh pihak polis di dalam tempoh ditetapkan iaitu sebelum tamatnya 21 hari siasatan.
“Tambahan pula, tangkapan yang melibatkan kesalahan kesalahan seperti penyeludupan migran dan keganasan memerlukan kerja-kerja penyiasatan lebih mendalam sekaligus menjadi lebih rumit berikutan golongan ini mempunyai rangkaian luar negara serta ideologi tersendiri,” katanya semasa mencadangkan usul itu di Dewan Rakyat hari ini.
Baru-baru ini, Dewan Rakyat meluluskan usul bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Parlimen, Mac lalu yang menolak penguatkuasaannya bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan untuk lima tahun lagi.
Parlimen memperuntukkan klausa matahari terbenam (sunset clause), untuk menyemak semula peruntukan tersebut setiap lima tahun.
Pada 23 Mac lalu, Hamzah telah membentangkan usul lanjutan itu, namun gagal mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat kerana 86 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 85 yang bersetuju manakala 49 ahli Parlimen tidak hadir.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, dalam tempoh selepas usul pelanjutan tempoh kuat kuasa subseksyen itu tidak diluluskan pada ketika itu, kejadian jenayah terancang terus berlaku menyaksikan kejadian tembakan di Sungai Petani, Kedah dan si mati adalah orang dikehendaki pihak polis kerana terlibat dalam jenayah terancang dan dadah.
Katanya, semua pihak tidak perlu membuat perbandingan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960 dan SOSMA 2012 kerana ia adalah akta yang memberi peluang dan hak mencukupi untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.
“Akta ini juga memberikan keadilan buat orang yang ditahan seperti peluang untuk berjumpa peguam dan kes-kes kesalahan keselamatan ini juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Perlu diingat, keadilan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan keselamatan negara serta rakyat secara keseluruhan adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara dan tugas pihak PDRM serta semua agensi keselamatan di negara adalah bagi memastikan negara ini aman dan selamat untuk didiami,” katanya. – UTUSAN