Belanja 1.2 tan durian sempena hari lahir - Utusan Malaysia

Belanja 1.2 tan durian sempena hari lahir

MURTADHATUMIZI Mustapha (tengah) melihat kakitangannya membuka buah durian untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir ke jamuannya di Jalan Temenggong, Kota Bharu, Kelantan semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pemuda berkongsi kegembiraan sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-27 dengan menjamu durian kepada orang ramai di hadapan premisnya yang terletak di Jalan Temenggong di sini, semalam.

Murtadhatumizi Mustapha berkata, idea menjamu durian timbul selepas melihat harga ‘raja buah’ itu masih lagi tinggi di pasaran sekali gus menyaksikan masih ada dalam kalangan masyarakat tidak dapat merasainya.

Menurutnya, dia berharap usaha kecil itu dapat memberikan kegembiraan kepada orang ramai di saat berdepan dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

“Ini merupakan kali kedua saya belanja orang ramai makan durian. Menariknya kali ini saya turut menyediakan pulut, manisan dan santan untuk dimakan bersama raja buah itu.

“Melihat kepada sambutan hangat ini saya bercadang untuk menganjurkan majlis ini dalam skala yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya di  sini semalam.

Murtadhatumizi yang juga pemilik kepada enam cawangan kedai emas memberitahu, segala kepenatan menganjurkan jamuan itu hilang apabila orang ramai dilihat begitu berselera menjamah raja buah tersebut.

Katanya, kira-kira 700 pengunjung menikmati jamuan yang disediakan itu.

“Saya harap usaha ini terus mendapat sokongan masyarakat pada masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN