SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Kuala Lumpur hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan pentadbir Facebooknya yang memberitahu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu kini sensitif dengan persekitaran luar dan mengenakan prosedur ketat kepada pelawat oleh pihak hospital.
“Hospital mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat dan jumlah pelawat juga terhad dan kami dahulukan ahli keluarga sahaja,” katanya.
Tambahnya, ahli keluarga memohon agar diberikan ruang kepada mereka untuk berhadapan dengan situasi tersebut.
Semalam keadaan kesihatan Abdul Khalid, 75, dilaporkan merosot apabila beberapa jururawat dilihat menyiapkan peralatan untuk merawat beliau dekat rumahnya.
Makluman tersebut dikongsikan bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin yang menyeru orang ramai mendoakan kesihatan Abdul Khalid kembali pulih seperti biasa.
Jelas kenyataan pentadbir itu, orang ramai diminta untuk terus berdoa supaya bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu pulih seperti sedia kala serta keluarga diberi kekuatan dan kesabaran.
“Sekali lagi memohon kemaafan dan menyatakan penghargaan tidak terhingga di atas keprihatinan seluruh rakyat Malaysia kepada pemimpin kesayangan kita ini.
“Bagi pihak Tan Sri (Abdul Khalid) kami mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga ke atas doa yang tidak putus-putus dari teman-teman dan seluruh rakyat Malaysia demi kesembuhannya,” jelasnya.
Abdul Khalid pernah dimasukkan ke hospital pada April lalu akibat jangkitan kuman. – UTUSAN










