JERANTUT: Isu terputus bekalan minyak masak peket bersubsidi yang berlarutan hampir dua minggu, selesai selepas ia dihantar di Felda Jengka 24 dan Felda Sungai Retang, di sini semalam.
Walaupun bekalannya belum mencukupi, peneroka di dua tanah rancangan itu berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, bekalan minyak masak peket dihantar ke tanah rancangan itu bermula semalam.
“Alhamdulillah bekalan minyak masak peket kembali diterima. Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya KPDNHEP.
“Cuma diharapkan bekalan ini berterusan supaya masalah ini tidak lagi berulang ,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, isu minyak masak peket bersubsidi yang dua minggu putus bekalan menimbulkan keresahan hampir 4,000 penduduk di Felda Jengka 24 dan Felda Sungai Retang.
Penduduk meluahkan rasa kecewa dan bimbang ketiadaan minyak masak peket satu kilogram itu berlarutan lebih lama.
Akibatnya, pengguna di dua tanah rancangan itu terpaksa membeli minyak masak botol dengan harga mahal lebih RM40 ketika ini.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Muhamad Hafizan Umar lega dan turut berterima kasih kepada KPDNHEP kerana menghantar minyak masak peket ke kawasan situ.
“Bekalan minyak peket ini sememangnya ditunggu-tunggu dan menghilangkan kerisauan penduduk ekoran masalah sebelum ini.
“Diharapkan bekalan dihantar ini biarlah berterusan supaya stoknya sentiasa mencukupi,” katanya. – UTUSAN









