Bapa, anak 5 tahun rentung terbakar - Utusan Malaysia

Bapa, anak 5 tahun rentung terbakar

MAYAT Allahudin Abdul Hamid dan Muhamad Badrol (gambar kecil) ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Cherana Puteh, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang bapa bersama anak lelakinya berusia lima tahun ditemui mati rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh di sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, mayat mangsa Allahudin Abdul Hamid, 51, dan anaknya, Muhamad Badrol ditemui sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah. 

Beliau berkata, panggilan kecemasan diterima pukul 1.56 pagi dan sembilan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita dapati sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 20 kali 50 kaki persegi telah terbakar sebanyak 70 peratus. 

“Orang awam kemudian memaklumkan terdapat dua mangsa dalam premis tersebut dan operasi menyelamat telah menjumpai seorang lelaki serta kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, mayat si bapa telah ditemui dalam bilik air manakala anaknya berada di bilik tidur utama kediaman tersebut. 

“Kedua-dua mangsa telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pukul 5.19 pagi tadi,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu ketika dihubungi berkata, maklumat daripada saudara mangsa memberitahu, hanya kedua beranak itu tinggal di rumah berkenaan.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mereka terbakar 100 peratus dan telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Hubungan kedua mangsa adalah anak-beranak. Si bapa tinggal berasingan dengan isteri. Anak yang turut meninggal adalah anak dengan isteri kedua. Punca kebakaran dan kematian masih dalam siasatan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN