PUTRAJAYA: Pembentangan Bajet 2023 yang dijangka pada 9 Disember depan bakal memperkukuhkan lagi momentum trend pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bajet tersebut bakal memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan daya tahan ekonomi negara.
“Kerajaan malah memberi jaminan akan terus memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, perniagaan dan ekonomi sepanjang tahun depan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Nada optimis beliau itu susulan perkembangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara yang berjaya merekodkan sebanyak lima peratus pada suku pertama tahun ini atau S1 2022.
Keadaan itu ujarnya, mencerminkan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan serta menunjukkan pertumbuhan KDNK pada suku kedua atau S2 2022 akan terus diperkukuhkan.
Beliau bahkan melahirkan keyakinan landasan pemulihan negara kekal kukuh hasil pelbagai indikator terkini terutama perdagangan borong dan runcit domestik yang terus meningkat lagi.
Ekoran perkembangan positif itu, Malaysia bakal mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3 sehingga 6.3 peratus pada tahun ini selari dengan ramalan KDNK oleh pelbagai badan global.
Antaranya tambah Tengku Zafrul, Dana Monetari Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang masing-masing telah mengunjurkan KDNK untuk Malaysia pada 2022 iaitu 5.7 dan 5.5 peratus.
“Melangkah ke hadapan dalam terus memperkukuhkan lagi pemulihan semasa, Kementerian Kewangan sudah memulakan pelbagai sesi libat urus Bajet 2023 sejak awal tahun,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa usaha penggubalan langkah kerajaan itu akan tetap mengambil kira segala keperluan meliputi pelbagai pihak yang berkepentingan.
Inisiatif itu juga selaras tema Bajet 2023, ‘Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.’
Mengulas lanjut, beliau merujuk data Mei lalu mencatatkan perdagangan borong dan runcit tertinggi sejak 2013 dengan RM129.8 bilion dan menokok 19.9 peratus dari tahun-ke-tahun.
Bahkan beliau gembira apabila penjualan kenderaan bermotor mula merekodkan pertumbuhan agak baik dengan sebanyak 20.1 peratus dari tahun-ke-tahun kepada nilai RM13.9 bilion.
“Secara keseluruhan, nilai perdagangan borong dan runcit sejak Oktober 2021 sudah pun jauh melebihi nilai purata yang direkodkan ketika pra-pandemik 2018-2019,” kata Tengku Zafrul.
Lebih menarik, pelbagai indikator lain pada Mei lalu juga menunjukkan situasi prestasi yang beransur pulih dan mula mengembang antaranya penurunan kadar pengangguran semasa.
Begitu juga ujarnya, Indeks Pengeluaran Perindustrian yang melonjak didorong pengeluaran produk elektrik dan elektronik serta selari dengan peningkatan jualan bagi sektor pembuatan.
Prestasi perdagangan negara turut kukuh apabila menokok 33.6 peratus dari tahun-ke-tahun kepada RM228.4 bilion dengan pertumbuhan dua digit yang ke-16 bulan sejak Februari 2021.
Perkembangan amat positif itu katanya, adalah sejajar dengan prestasi dagangan eksport dan import yang mencatatkan pertumbuhan masing-masing sebanyak 30.5 dan 37.3 peratus. – UTUSAN