PETALING JAYA: Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd) di Scotland mengambil inisiatif menghasilkan arca bertajuk ‘Nafas Seterusnya’ bagi menghargai peranan pekerja perubatan di seluruh dunia yang berjuang memerangi Covid-19.
Karya seni ciptaan pengukir terkenal, Prof. Kenny Hunter itu menggambarkan empat figura petugas barisan hadapan yang bertugas di wad Covid-19. Kesemua arca berkenaan kini dipamerkan di RCSEd dan majlis pratontonnya turut dihadiri Penaung kolej berkenaan, Putera Charles baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil seni luar biasa oleh RCSEd itu adalah penghargaan tinggi buat barisan hadapan perubatan di seluruh dunia termasuk Malaysia atas dedikasi dan komitmen yang diberikan kepada masyarakat.
“Kami telah menyaksikan pengorbanan dan jasa para pekerja perubatan sepanjang wabak melanda. Warga kerja perubatan telah mencurahkan bakti yang tidak terhingga dari segi masa dan kudrat mereka untuk menjamin kesihatan serta nyawa pesakit dalam situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini, malah sanggup meletakkan diri mereka dan keluarga dalam keadaan bahaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Hunter berkata, idea bagi penghasilan karya seni berkenaan tercetus selepas meluangkan masa bersama empat petugas perubatan yang berkhidmat di wad Covid-19.
Katanya, karya seni itu diabadikan daripada campuran pelbagai emosi yang dialami mereka sepanjang bertugas dalam tempoh mencabar itu.
“Nafas Seterusnya membolehkan kita memperingati daya tahan kakitangan perubatan di seluruh dunia, di sebalik semua kesukaran dan cabaran yang dilalui semasa merawat pesakit yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN










