PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan bekas bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali esok bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dalam siasatan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, Mohamed Apandi diminta hadir ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 2.30 petang esok.
“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seksyen 217 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan penjawat awam yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan, atau harta daripada dirampas. Ia membawa kesalahan penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Jumaat lalu, polis mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap Mohamed Apandi susulan laporan polis dibuat terhadapnya.
Laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Pejuang di Selangor manakala Ketua Sosialis Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) Dr. Kelvin Yii Lee Wuen di Kuala Lumpur.
Pada 22 Julai lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa Mohamed Apandi disiasat susulan dakwaan bekas Peguam Negara itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, laporan bahawa Mohamed Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low amatlah mengejutkan.
Susulan itu beberapa wakil Pejuang dan pemimpin politik pembangkang telah membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan penglibatan Mohamed Apandi.
Dalam laporan itu, mereka turut mendakwa kedudukannya sebagai Peguam Negara ketika itu memberi ruang dan peluang buatnya terlibat dengan salah laku berkaitan skandal berat itu.
Ini juga mengambil kira cubaannya untuk menggugurkan sebarang pertuduhan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan berkenaan.
Sebelum ini, Jho Low dilaporkan bersedia untuk memulangkan wang RM1.5 bilion untuk menyelesaikan kes penyelewengan dana 1MDB.

Mohamed Apandi sebelum ini menjelaskan bahawa peranannya mengatur pertemuan Jabatan Peguam Negara bersama firma guaman mewakili Jho Low, Kobre dan Kim, hanya sebagai fasililator.- UTUSAN