KUALA LUMPUR: Semua jemaah menteri diminta memberi masa secukupnya kepada ahli-ahli Parlimen mengutarakan soalan semasa persidangan Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, beliau terkilan tidak dapat mengemukakan soalan kerana menteri mengambil masa terlalu lama untuk menjawab setiap soalan lain.
“Tak banyak soalan dapat dijawab. Hari ini saya tunggu dengan tekun tapi hanya sampai soalan nombor lapan sedangkan kita sudah bahaskan dalam sidang sebelum ini.
“Sebab itu kita ada timer. Menteri disiplin sedikitlah, jangan ambil masa lama sangat untuk menjawab sampai kita yang menunggu ini tak dapat tanya soalan.
“Selalunya kita sampai soalan ke-13 dan 14 atau 15 tetapi ini soalan ketujuh dan lapan sahaja, apa gunanya. Kita nak menteri jawab, ada timer atau tidak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu turut dipersetujui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
“Saya dah banyak kali cakap, mukadimah itu kurang sikit, bukan menteri sahaja, yang nak tanya soalan itu tanya terus soalan. Jawapan pun serupa, terus ke jawapan supaya kita boleh buat yang terbanyak.
“Sebab bila yang jawab panjang sangat, yang kemudian itu tak berapa adil bagi saya. Banyak kali dah seru tapi nampak gayanya kurang efektif pesanan itu.
“Selepas ini kalau boleh yang bertanya soalan kurangkan mukadimah, yang menjawab itu kurangkan mukadimah. Terus dengan isi soalan dan jawapan,” katanya. – UTUSAN










