PASIR GUDANG: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menjadi Perdana Menteri kerana hasratnya yang berjuang demi kesejahteraan rakyat dan menentang perasuah negara dihalang oleh golongan elit negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebaliknya mendakwa, golongan elit negara ini bimbang dengan dasar ekonomi Presiden PKR itu yang lebih memihak terhadap kepentingan hidup rakyat.
Menurutnya, hal itu kerana golongan elit berkuasa yang terbina dari zaman kerajaan Perikatan diikuti dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun membina kekayaan peribadi dan keluarga masing-masing hasil dasar kapitalis kroni.
“Golongan elit berkuasa yang ada sekarang tidak suka kepada mana-mana pihak yang melancarkan perang terhadap rasuah, manakala Anwar menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai agenda utama perjuangannya.
“Siapakah di Parlimen Malaysia pada tahun 2013 yang mula-mula sekali mendedahkan skandal 1MDB. Orang itu ialah Anwar. Dua tahun kemudian beliau dihumban ke Penjara Sungai Buluh. Itu harga yang terpaksa beliau bayar kerana mendedahkan skandal rasuah.
“Seperti diktator Robert Mugabe di Zimbabwe, begitulah kerajaan BN yang dikuasai oleh elit berkuasa menggunakan fitnah untuk memenjarakan Anwar, musuh politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, kegagalan demi kegagalan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bukanlah satu liabiliti, sebaliknya adalah aset kepada negara.
“Gagal menjadi Perdana Menteri, bukan bermakna Anwar suatu liabiliti kepada perjuangan PKR untuk menjadi kerajaan, sebaliknya, beliau adalah suatu aset bagi perjuangan reformasi, sesuatu yang lebih besar daripada sekadar hanya menjadi Perdana Menteri dan kerajaan.
“Selepas bebas dan kembali menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, apa antara isu rasuah yang Anwar suarakan? Beliau menuntut skandal kewangan yang didedahkan oleh Pandora’s Papers supaya dibahaskan di Parlimen. Hal-hal seperti ini amat tidak disukai golongan elit berkuasa.
“Anwar hendak merombak tatakelola (governance) institusi-institusi penting kerajaan seperti Perkhidmatan Awam, SPRM, SPR, PDRM dan banyak lagi. Ini yang Anwar tegaskan berulang kali. Beliau begitu ‘passionate’ dengan perjuangan membina tatakelola yang baik bagi institusi-institusi penting tersebut yang dianggapnya sebagai tiang seri sebuah kerajaan.
“Boleh bayangkan, adakah golongan elit berkuasa akan membenarkan Anwar berjaya dengan agenda reformasinya itu. Jawapannya tentu sekali tidak. Golongan elit berkuasa inilah yang berada di belakang tabir melakukan segala macam helah supaya Perdana Menteri Ketujuh tidak menunaikan perjanjian untuk turun jawatan Perdana Menteri selepas dua tahun berkuasa di zaman Pakatan Harapan (PH) yang lalu.
“Mungkir janji Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu rancangan dalam ‘grand design’ untuk menggagalkan Anwar menggantikan Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri,” ujarnya.
Menurut Hassan, Anwar juga bukan seorang pemimpin yang radikal dalam perjuangannya, berbeza berbanding beberapa kepemimpinan berhaluan kiri yang pernah wujud dalam politik negara ini.
“Anwar tidak radikal perjuangannya. Selama 16 tahun beliau jadi sebahagian daripada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sebagai menteri. Daripada pengalamannya, beliau tahu buruknya amalan kapitalis kroni, nepotisme dan rasuah.
“Politik Anwar yang sederhana, tidak radikal mudah difahami dan diterima oleh rakyat pelbagai kaum termasuk golongan usahawan yang tulen bukan kroni. Ini yang menakutkan golongan elit berkuasa,” katanya. – UTUSAN










