Annuar perlu jawab perjanjian dengan Bersatu - Nur Jazlan

Annuar perlu jawab perjanjian dengan Bersatu – Nur Jazlan

NUR JAZLAN MOHAMED (kanan) dan ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa diminta menjawab dakwaan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai perjanjian dengan pemimpin kanan UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perkara itu perlu dijelaskan ekoran tindakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ‘memetik’ nama Annuar sebagai saksi perjanjian berkenaan.

Nur Jazlan menegaskan, sebagai ‘orang lama’ UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, beliau tidak pernah dimaklumkan oleh kepemimpinan parti tentang perjanjian politik berkenaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalaulah betul ada perjanjian politik antara Naib Presiden UMNO dan Bersatu, pastinya individu berkenaan akan maklumkan kepada pihak parti dan parti akan beritahu kepada pemimpin bahagian serta akar umbi.

“Tetapi tak tahulah takut ada perjanjian politik yang dibuat di luar konteks parti. Mungkin bekas Setiausaha Agung BN, Annuar yang namanya dipetik oleh Ketua Penerangan Bersatu itu boleh berikan penjelasan lebih lanjut.

“Sebab sebelum ini Annuar memang suka menjadi jurucakap kepada Bersatu dan suka jaja cerita dalaman UMNO pasal Zahid-Anwar dan SD. Jadi eloklah Annuar bercakap pasal isu perjanjian ini kerana dia saksi hidup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful dilaporkan media telah mendedahkan bahawa Annuar adalah saksi perjanjian yang dimeterai antara Bersatu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Nur Jazlan berkata, ahli akar umbi UMNO pastinya mahu tahu tentang intipati perjanjian berkenaan, sama ada memberi manfaat kepada parti dan rakyat atau hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.

“Jadi kita tunggu sahaja apa yang Annuar dan mungkin menteri-menteri UMNO dalam kerajaan dapat berikan pencerahan supaya tidak timbul sebarang keraguan,” katanya.

Beliau turut hairan dengan tindakan kepemimpinan Bersatu, termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berterusan memberi tekanan dan mengugut Perdana Menteri.

“Mungkin Muhyiddin sedang cuba untuk menyelamatkan Bersatu yang ketika ini teramat goyah dan di ambang perpecahan. Mungkin juga beliau mahu gunakan kedudukan Timbalan Perdana Menteri dan kuota menteri untuk beli jiwa pemimpin dia yang sedang bertelagah dan ada yang mahu lompat keluar Bersatu.

“Ini kerana Muhyiddin tahu jangka hayat Bersatu sudah tak lama. Dia tahu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti Bersatu akan berkubur dan namanya hanya tinggal dalam lipatan sejarah, sama macam Semangat 46. Itu pun kalau ada orang nak cari lagi pasal Bersatu dalam Internet nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×