KEMAMAN: Seorang anggota bomba cedera selepas terjatuh dari ketinggian tiga meter ketika memadam kebakaran sebuah kilang besi di Teluk Kalong, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa, Muhammad Ridzuan Kamaruzaman, 31, mengalami retak pergelangan tangan kanan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Zailani Abdullah berkata, anggota bomba tersebut terjatuh selepas dikatakan terpijak struktur besi yang tidak kukuh ketika cuba memadam kebakaran.
“Kilang besi tersebut sedang dalam proses pelupusan menyebabkan keadaannya gelap serta banyak timbunan besi menyebabkan anggota tersebut mungkin tidak menyedari dia terpijak besi tidak kukuh.
“Bagaimanapun, anggota tersebut terselamat daripada kecederaan teruk kerana memakai pakaian khas operasi,” katanya di sini, hari ini. – UTUSAN










