AMK gesa polis siasat Najib

AMK gesa polis siasat Najib

ADAM Adli Abdul Halim bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa siasatan segera dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyebabkan negara berdepan dengan tuntutan berjumlah sekitar RM67.5 bilion daripada waris Kesultanan Sulu.

Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim berkata, siasatan perlu dijalankan memandangkan kecuaian yang dilakukan Najib ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.

“Tuntutan ini bermula ekoran keputusan pentadbiran Najib untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu (seperti kehendak perjanjian) dalam tahun 2013.

“Sepatutnya, sekiranya beliau tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan,” katanya dalam sidang media selepas tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Katanya, keputusan yang dilakukan Najib mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

“Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017, semasa Najib masih menjadi Perdana Menteri.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya meminta supaya pihak berkuasa menyiasat Najib di bawah peruntukan Kanun Jenayah sedia ada (Akta 574) dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-perkhidmatan Awam) dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (PU.A 395) untuk menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Najib dalam menangani isu ini,” jelasnya.

Menurutnya, Najib juga cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Saya berharap laporan ini membolehkan kertas siasatan dibuka untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya.

Pada Isnin, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta semua pimpinan dan cabang parti di seluruh negara membuat laporan polis kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri itu sehingga membawa tuntutan waris Kesultanan Sulu. 

Menurut beliau, undang-undang negara memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang cuai dalam menjalankan tugas awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya