JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Hakim Syarie Johor, Datuk Amir Danuri, 72, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada Sambutan Maal Hijrah 1444 Hijrah Peringkat Negeri Johor, hari ini.
Amir menerima wang tunai RM10,000 berserta sijil penghargaan, sebuah plak dan hadiah iringan berjumlah RM2,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Panel Mahkamah Rayuan Syariah Johor bersyukur atas penganugerahan itu selain menganggap berkat doa ibu menjadikannya individu yang berjaya.
Bapa kepada lapan anak itu tidak pernah terlepas untuk memohon doa dan restu daripada ibunya, Dakyah Laman dalam setiap pekerjaan yang dilakukan bagi memperoleh keberkatan.
“Walaupun saya menghadiri mesyuarat berkaitan dengan undang-undang dan jabatan, saya tetap maklumkan kepada emak dan mohon doakan ia berjalan lancar.
“Malah, apa-apa sahaja kerja yang dilakukan, kita mesti minta doa daripada ibu. Itulah rahsia kejayaan saya sehingga menamatkan karier sebagai Ketua Hakim Syarie Johor,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444H Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.
Amir memberitahu, bapanya meninggal dunia pada 1973, manakala ibunya meninggal dunia pada 2007.
Beliau yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri terutamanya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas penganugerahan tersebut.
Berasal dari Tangkak, Amir aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak 1987 termasuk dalam Persatuan Pegawai Syariah selain pernah berkhidmat sebagai Kadi Daerah dan Hakim Mahkamah Syariah.
Diminta mengulas mengenai perundangan Islam di negara ini, beliau berharap supaya usaha kerajaan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 dapat dilaksanakan bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.
“Kita perlu saling membantu untuk memartabatkan undang-undang Islam di negara ini,” katanya.
Dalam majlis sama, tiga individu, iaitu Ramli Bandahara dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi kategori pendidikan, Rahmas Abdullah bagi kategori penghayatan al-Quran dan Datuk Mohd. Roshidi Mohd. Nor bagi kategori khidmat masyarakat.
Pemilihan pemenang itu dibuat berdasarkan sumbangan besar mereka dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat.- UTUSAN