Akta Produk Tembakau dan Merokok perlu dinilai  tiga tahun sekali - Utusan Malaysia

Akta Produk Tembakau dan Merokok perlu dinilai  tiga tahun sekali

DZULKEFLY Ahmad beramah mesra dengan penderma darah pada program Kempen Derma Darah dan Sihat Ijok di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ijok di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Penguatkuasaan Akta Produk Tembakau dan Merokok wajar dinilai secara menyeluruh sekurang-kurangnya bagi setiap tiga tahun selepas Rang Undang-Undang (RUU) itu diluluskan bagi mengetahui keberkesanannya.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sudah menyatakan pandangan dan input mengenai RUU itu kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Kita secara prinsipnya menyokong Akta Produk Tembakau dan Merokok namun segala aspek pelaksanaannya perlu diperhalusi dan dibahaskan nanti.

“Ia termasuk evaluasi atau penilaian yang harus dilakukan jawatan kuasa terlibat sekurang-kurangnya dalam tempoh setiap tiga tahun,” katanya pada program Kempen Derma Darah dan Sihat Ijok di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ijok, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan kerajaan akan menyemak semula akta yang dicadangkan dibuat selepas 10 tahun dikuatkuasakan.

Rabu lalu, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang memperuntukan larangan individu yang lahir pada dan selepas 2007 merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Berdasarkan RUU itu, individu berkaitan  boleh berdepan hukuman denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan. 

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, penilaian antara tiga hingga 10 tahun itu turut bertujuan mengenal pasti wujud bukti dan data kesihatan baharu mengenai kesan pelaksanaannya.

“Selain itu, perkara yang perlu  diperhalusi adalah melibatkan aspek undang-undang dan peruntukan hukuman yang bakal ditetapkan.

“Kita tidak mahu ‘memangsakan’ golongan berkaitan iaitu belia dan akan mencari langkah terbaik bagi semua pihak,” ujarnya.

 Tambah beliau, penguatkuasaan akta itu bagaimanapun amat penting berikutan melibatkan isu kesihatan awam dan masa depan populasi negara ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya