Ahmad Zahid berang ditanya berulang kali

Ahmad Zahid berang ditanya berulang kali

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat tidak tenteram apabila mendakwa pihak pendakwaan cuba memerangkapnya dengan bertanyakan soalan yang sama berulang kali.

“Tak perlulah bertanya perkara yang sama berulang kali supaya saya terperangkap,”katanya ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong.

Pendakwa itu bagaimanapun dengan tenang menjelaskan bahawa dalam proses mencari keadilan, fakta perlu dibentangkan melalui soalan agar dapat membantu mahkamah membuat keputusan.

“Semua pihak mencari keadilan dan Datuk Seri pun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Untuk mendapatkan keadilan, fakta perlu dibuktikan. Mahkamah tidak boleh membuat keputusan sehingga fakta ditunjukkan,”kata Harris Ong.

Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid kemudian bangkit membantah kenyataan oleh Harris Ong itu namun Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan, kenyataan yang dibuat oleh pendakwa raya itu adalah respon kepada dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Terdahulu, Ahmad Zahid disoal mengenai cek-cek yang diterima oleh pengurup wang, Omar Ali dan lejar yang memaparkan wang jutaan ringgit dikreditkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman, Lewis & Co.

Soalan serupa turut ditanya pada prosiding semalam namun diulang semula hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada Ahmad Zahid dengan rujukan dibuat kepada beberapa keping cek.

HArris Ong: Datuk Seri kata Muralidharan (peguam Lewis & Co) tidak menunjukkan salinan cek ini kepada Datuk Seri? Adakah Omar Ali ada memaklumkan kepada awak mengenai sumbangan orang awam ini?

Ahmad Zahid. Bukan sumbangan orang ramai. Sumbangan individu dan syarikat korporat.

Harris Ong: Soalan saya, adakah Omar Ali yang memberitahu Datuk Seri mengenai sumbangan ini sebab tadi Datuk Seri Kata Muralidharan tidak pernah menunjukkan salinan cek ini kepada Datuk Seri.

Ahmad Zahid: Yang Arif, apabila seorang tu diberikan kepercayaan untuk mengkreditkan jumlah sumbangan dan sumbangan itu bukan atas nama saya peribadi, tetapi adalah sumbangan kepada sebuah yayasan dan jelas bahawa sumbangan itu telah dikreditkan, adalah tidak bermoral jika kita bertanya siapakah pemberi itu, adakah duit tu telah dimasukkan atau tidak. 

Cukup dengan kepercayaan dan ada penyata bank dan lejar yang diperlihatkan. Kita harus ada kepercayaan sebab yakin sumbangan itu adalah kerana ia adalah utk amal jariah. Kenapa perlu ditanya kepada saya perkara yang berulang supaya saya terperangkap.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu antara lainnya untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Perbicaraan bersambung petang ini. –  UTUSAN

 

Habis..

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN