PETALING JAYA: Ahli Parlimen pembangkang tidak akan mengubah pendirian menolak usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang ‘berniat’ melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Hal itu walaupun Dewan Rakyat kelmarin meluluskan usul bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Parlimen, Mac lalu, yang menolak lanjutan penguatkuasaannya bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan untuk lima tahun lagi bermula 31 Julai ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Rasah dari DAP, Cha Kee Chin berkata, beliau tidak melihat keperluan meluluskan usul tersebut malah tidak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan mahu membatalkan sesuatu keputusan yang telah dibuat di Parlimen.
“Tidak pernah lagi mana-mana kerajaan mahu membatalkan keputusan yang dibuat, tetapi, kelmarin ia sudah berlaku. Apakah ada keperluan sangat mendesak untuk mengambil keputusan itu?
“Tidak kira siapa menang atau kalah, hormatlah keputusan terdahulu, kalau kelmarin pun boleh dibuat, esok lusa kerajaan tidak puas hati lagi, apakah mahu membatalkan keputusan yang lain lagi?,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun sahaja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang dalam penguatkuasaannya, bagaimanapun ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.
Pun begitu, Peraturan Mesyuarat 36 (3) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menjelaskan: “Adalah salah pada peraturan mesyuarat jika dicuba menimbangkan semula perkara yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat dalam penggal Majlis yang ada sekarang, kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri bagi membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat berkenaan dengan perkara itu.”
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani berkata, kerajaan sepatutnya melabur menggunakan sumber sedia ada tanda reformasi di dalam sistem keadilan jenayah berbanding terus-menerus menggunakan SOSMA yang didakwa bersifat tidak demokratik.
“Undang-undang ini sangat berbahaya, ia bukan sahaja digunakan untuk ahli politik malah wartawan yang melaporkan isu-isu keganasan. Ini juga tidak adil untuk ahli keluarga jika salah seorang ditahan selama tempoh itu kerana mereka tidak diberitahu.
“Kita perlukan reformasi di alaf baharu dalam sistem keadilan jenayah. Kita mesti menjunjung kedaulatan undang-undang dan pada masa sama memastikan diri kita selamat. Bukan dengan menggadai demokrasi dan hak tahanan yang wajar mendapat keadilan,” katanya.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa menggulung perbahasan di Parlimen dilaporkan akan mengemukakan semula usul lanjutan penguatkuasaan subseksyen 4(5) akta sama supaya tempoh tahanan 28 hari dikekalkan selama lima tahun lagi mulai hujung bulan ini.
Pada 23 Mac lalu, beliau membentangkan usul lanjutan itu, namun gagal mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat kerana 86 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 85 yang bersetuju manakala 50 ahli Parlimen tidak. – UTUSAN










