Ahli Parlimen Bersatu akan sabotaj RUU Anti Lompat Parti

Ahli Parlimen Bersatu akan sabotaj RUU Anti Lompat Parti – Nur Jazlan

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendedahkan terdapat Ahli Parlimen, khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mensabotaj pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen yang bermula hari ini.

Dakwanya, ini kerana geng katak politik berkenaan masih memasang angan-angan untuk melompat parti sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mereka tahu parti berkenaan bakal berkubur tidak lama lagi.

Antara parti politik yang akan menjadi sasaran termasuk UMNO, DAP, Pas dan PKR.

“Saya sebenarnya masih kurang yakin RUU ini dapat dilaksanakan dengan lancar kerana ramai ahli politik takut kalau RUU ini menjadi satu undang-undang atau akta baharu. Ini kerana geng katak akan terbelenggu dan diikat dengan akta tersebut.

“Selepas ini, kalau parti yang diwakili mereka kalah atau mereka tidak lagi boleh mencari makan dalam parti lama, geng katak ini tak boleh lagi nak melompat. Mereka terpaksa mereput bersama-sama parti atau mereka terpaksa tinggalkan parti dan juga jawatan wakil rakyat yang disandang sebelum ini.

“Sebab itulah hingga hari ini saya dapat info masih ada Ahli Parlimen, terutamanya daripada Bersatu yang cuba nak sabotaj atau halang RRU ini dibuat. Depan mata mereka tunjuk sokongan, tetapi di belakang ada cubaan mereka untuk gagalkan RUU,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu mendakwa, pemimpin terbabit tidak mahu melompat sekarang kerana hilang jawatan, gaji dan elaun sebagai menteri atau timbalan menteri. 

“Cuma UMNO sahaja yang mahu RUU Anti Lompat Parti ini diwartakan sebab kami yang paling terkesan dengan geng katak politik. Sudah lama dan banyak kali UMNO dikhianati oleh geng katak yang tidak ada maruah diri.

“Semangat 46, PKR dan Bersatu adalah bukti pengkhianatan terhadap UMNO sejak sekian lama yang dilakukan oleh geng ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN