ADUN PH Melaka berkecuali jika berlaku undi tak percaya

ADUN PH Melaka berkecuali jika berlaku undi tak percaya

KERK Chee Yee (kanan) dan Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya, Mohd. Rafee Ibrahim menunjukkan ayam yang dijual pada program jualan ayam murah di Batu Berendam, Melaka. UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mengambil pendekatan berkecuali, sekiranya usul undi tidak percaya ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula esok.

ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, meskipun aspirasi pembangkang dalam dewan kebiasaannya bertentangan dengan usul dibawa kerajaan, namun kali ini PH melihat bahawa perkara itu langsung tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, tindakan mengambil bahagian dengan mengundi dilihat hanya akan menguntungkan puak-puak tertentu dalam UMNO.

“Isu ini berpunca daripada pergaduhan dalam UMNO, kami berpandangan sekarang bukan masanya untuk UMNO mainkan permainan kuasa ini, kerana dalam manifesto Barisan Nasional (BN), ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’. 

“Saya rasa itu apa yang amat diperlukan rakyat sekarang kerana, seperti apa yang saya kata tadi bukan sahaja kita ada masalah ekonomi, kita ada pelbagai masalah dihadapi rakyat sekarang. Tapi sekiranya kerajaan negeri mempermainkan kuasa dan tidak dilihat cuba menyelesaikan masalah rakyat, kita akan terus berdepan dengan masalah yang telah dihadapi selama ini. 

“Jadi PH, kami tak akan masuk campur sekiranya ada undi tidak percaya, kerana ini bukan satu isu rakyat, hanya isu untuk puak-puak dalam UMNO sahaja,” katanya dalam sidang akhbar sempena program jualan ayam murah di Batu Berendam di sini hari ini.

Program anjuran bersama PKR Cabang Hang Tuah Jaya itu menawarkan sebanyak 1,000 ekor ayam kepada orang ramai dengan harga RM6.40 sekilogram.

Terdahulu, Badan Perhubungan UMNO Melaka menafikan laporan sebuah portal yang dikatakan mendakwa, politik Melaka kembali bergolak dan Sulaiman mungkin berdepan undi tidak percaya dalam Sidang DUN bermula esok.

Dalam pada itu, Chee Yee yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Melaka turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan negeri sebelum ini mengangkat peranan pembangkang sebagai ‘rakan strategik’ dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Tegasnya, gelaran rakan strategik itu kini boleh diumpamakan sebagai ‘cakap tak serupa bikin’, memandangkan tiada langsung pembabitan ADUN pembangkang dalam sebarang mesyuarat jawatankuasa.

“Berkali-kali Ketua Menteri katakan, kita dianggap sebagai rakan strategik, katanya mereka akan melibatkan pihak pembangkang dalam mesyuarat dan sebagainya untuk menyelesaikan masalah seperti banjir kilat. Tapi hakikatnya sepanjang dua tahun setengah ini, tak ada pun kami dijemput ke apa-apa mesyuarat kerajaan negeri,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN