Ada yang suruh bercerai saja - Nadya Syahera

Ada yang suruh bercerai saja – Nadya Syahera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERENTAN. Mungkin itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan betapa kecewa dan sedihnya hati pelakon, Nadya Syahera Rosli, 29, ketika dia bertindak meluah rasa yang terbuku di hati mengenai kemelut rumah tangganya menerusi platform media sosial baru-baru ini.

Meraih perhatian ramai warganet, pelakon yang sinonim dengan karektornya suka melatah ini seakan tidak lagi kisah untuk berkongsi ‘masalah’ rumah tangga yang dihadapi meski ada pihak melihat tindakannya itu cuma membuka pekung dan aib suami isteri.

Akui Nadya, sebagai seorang manusia biasa, dia sudah tidak mampu lagi menahan rasa atas kata sabar kerana menanggung beban sebagai seorang isteri yang terbelenggu dengan urusan rumah tangga berseorangan tanpa pengertian si suami.

Sememangnya, kata Nadya, sebelum ini kata-kata rentanan yang diluahkan di media sosial bertujuan untuk memancing perhatian suami, bukan orang lain. Baginya, ia satu cara termudah untuk memungkinkan si suami dapat memahami perasaannya sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak kini.

“Nak kata saya ini peraih perhatian atau attention seeker, silakan. Saya katakan ini sebab nak meluah. Selama ini, saya tahu kelemahan kami berdua sebagai suami isteri adalah tiada komunikasi yang baik.

“Bukan tak pernah cuba, tapi susah nak cari waktu yang benar-benar ideal untuk kami berdua bercakap dari hati ke hati memandangkan hubungan kami ini umpama jarak jauh, dia berada di Thailand kerana urusan kerja.

“Bukan dia tidak balik ke sini, tetapi amat jarang. Saya faham, dia bekerja. Tetapi sebagai wanita, isteri dan ibu tiga anak, apa yang saya perlukan adalah pengertian dan perhatian daripada seorang suami,”katanya.

BUKAN HARTA SEMATA TETAPI PERHATIAN

Jelas Nadya, dia sedar, perihal rumah tangga tidak wajar untuk diceritakan kepada semua orang demi menjaga air muka dan maruah. Namun, adakalanya, dia tidak mampu mencari cara terbaik untuk berkomunikasi dengan suami.

“Itu pun tidak semua perkara saya luahkan di media sosial. Saya juga tahu, ramai yang kecam dan tak setuju dengan cara saya.

“Tapi orang tak tahu betapa tertekannya saya menguruskan rumah tangga seorang diri dan anak-anak tanpa suami di sisi. Saya bahkan berdepan dengan masalah anxiety. Orang tak akan faham jika tak duduk di tempat saya.

“Tapi selepas apa yang berlaku dan dia pun sedar keadaan ini tidak sihat, kami sudah saling bermaafan. Cuba untuk perbaiki masalah antara kami. Tapi saya tahu, ia tidak akan berlaku sekelip mata,” katanya.

Mengaku kini sedang memberi ruang buat masing-masing untuk memperbaiki diri dan hubungan suami isteri, Nadya, mencuba untuk bersikap rasional dan kekal bertenang dalam setiap tindak tanduknya.

Malah, menerusi apa yang telah berlaku, Nadya tidak menolak, ada kalangan netizen yang mengikutinya di Instagram tampil dengan cadangan agar dia bercerai sahaja dengan suami jika benar dirinya sudah tidak tahan lagi dengan kemelut ketidaksefahaman antara mereka.

Pun begitu, kata pelakon ini, bukan mudah untuk dia membuat keputusan seperti itu tanpa memikirkan kesan dan faktor lain.

“Ramai juga yang beri tekanan pada saya untuk letakkan sahaja noktah pada hubungan ini. Tujuh tahun, sampai bila? Tanya mereka. Begini, saya tulis apa sekali pun di media sosial, buat luahan, jawapannya ada pada diri saya sendiri.

“Saya tak akan dengar apa orang cakap. Walau keluarga saya sekali pun. Sebab, keputusan atas saya. Sedihkah, sakitkah, gembirakah, semua itu bukan keputusan mereka. Ada yang kata, saya muda lagi kalau bercerai sekarang, ada masa boleh cari orang lain untuk kahwin.

“Tapi adakah itu keinginan saya? Kalau bercerai pun, hendakkah saya kahwin lagi? Entah-entah jadi makin teruk,” katanya.

Mengaku reda dengan jalan hidupnya, kata Nadya, dia sentiasa percaya pada magis doa apalagi doa seorang isteri terhadap suaminya sendiri.

“Penat, penat dah. Mengadu pada Allah SWT pun sudah, jadi saya tawakal sajalah sekarang. Apa yang saya harapkan ialah, suami saya nanti dapat memahami isi hati saya sebagai wanita.

“Adakala, bukan harta benda yang kita nak sangat, bukan duit. Tapi perhatian. Tak semestinya letak duit sedebuk depan mata buat kita gembira. Nasihat ini juga adalah pada semua para suami dan mereka yang bakal bergelar suami.

“Percayalah, wanita ini cuma hendak rasa diri mereka dihargai,”katanya.

Sebelum ini, Nadya dan Fizul pernah mengalami masalah rumah tangga pada 2019 selepas pelakon itu mendedahkan kecurangan suaminya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada September 2015 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Aleena Rose, 7, Mohamad Dayyan, 6, dan Muhammad Barr Adam, 3 bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN