Ab. Rauf nafi undi tak percaya terhadap Ketua Menteri Melaka

Ab. Rauf nafi undi tak percaya terhadap Ketua Menteri Melaka

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Badan Perhubungan UMNO Melaka menafikan laporan sebuah portal yang dikatakan mendakwa, politik Melaka kembali bergolak.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, artikel tersebut berniat jahat serta bertujuan mengganggu-gugat kestabilan politik di negeri ini.

“Pastinya rakyat Melaka yang telah memilih, mahu manifesto ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ diteruskan. Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, saya tidak akan sekali-kali mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mandat rakyat yang diperolehi semasa pilihan raya negeri (PRN) lalu perlulah dihormati. Oleh itu, saya menjamin tidak akan ada sebarang tindakan mengkhianati mandat rakyat seperti undi tidak percaya akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam laporan portal berkenaan menyebut, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mungkin berdepan undi tidak percaya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula 25 Julai ini.

Dakwa portal itu lagi, menurut sumber dilaporkan sebuah akhbar Cina, Ab. Rauf berhasrat mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong mengakui kepada Utusan Malaysia, terdapat bayangan bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Sulaiman pada sidang berkenaan.

Ahli Jawatankuasa DAP Melaka itu mendakwa, wujud desas-desus mengatakan ada pihak kini sedang sibuk mendesak untuk mengambil-alih tampuk kepemimpinan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ab. Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara menambah, tuduhan seperti itu bukanlah pertama kali dilemparkan terhadap kepemimpinan negeri.

Jelasnya, ia adalah mainan pembangkang yang cemburu dengan kejayaan dicapai setelah BN menerajui Melaka.

“Suka saya menegaskan bahawa barisan pemimpin kerajaan negeri tidak terkesan dengan sebarang tohmahan yang bersifat spekulasi serta tidak berasas ini.

“Sebaliknya, barisan kepemimpinan akan terus berusaha keras memastikan Melaka terus stabil memberi kemakmuran kepada rakyatnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×