ALOR SETAR: Sekumpulan 80 mat rempit gagal meloloskan diri apabila motosikal yang dinaiki mereka dikepung polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pegawai, di sini hari ini.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Kota Setar menahan kesemua terlibat serta mengeluarkan 85 saman di atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, operasi berakhir pukul 7 pagi itu juga turut menahan seorang remaja berusia 19 tahun yang sedang menunggang laju dan melakukan aksi zig zag berulang kali.
“Perbuatan berkenaan bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya yang lain malah diri mereka sendiri. Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai kenderaan serta pelbagai kesalahan trafik lain,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Shukri berkata, pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas dan proaktif bagi membanteras aktiviti seumpama itu.
“Polis menyeru agar kesemua ibu bapa atau penjaga menitikberatkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat kerana perbuatan ini akan menjejaskan masa depan anak muda.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah dan dadah bolehlah disalurkan kepada pihak trafik atau mana-mana balai yang berdekatan,” katanya. – UTUSAN