PUTRAJAYA: Seramai 712,435 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya didaftarkan bagi Pelan Rekalibrasi PATI selepas program itu tamat pada 30 Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu, 293,907 orang PATI berdaftar menerusi Program Rekalibrasi Pulang dan 418,528 orang bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
“Setakat ini, seramai 255,111 orang PATI telah pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Rekalibrasi Pulang dan ia menjana hasil sebanyak RM140,558,600 kepada kerajaan.
“Jumlah ini dijangka terus meningkat dalam tempoh dua minggu iaitu tempoh kelulusan yang diberikan JIM untuk PATI yang berdaftar di bawah Program ini untuk pulang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula, Hamzah berkata, seramai 335,276 orang PATI hadir proses verifikasi di JIM dan seramai 3,900 PATI gagal dalam verifikasi.
Menurutnya, proses verifikasi itu gagal disebabkan mereka tersenarai dalam senarai syak, senarai hitam dan dilaporkan lari dari majikan, tidak melepasi syarat umur penggajian serta tidak melepasi kelayakan lain seperti negara sumber dan sektor pekerjaan.
“Selain itu, jumlah Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan oleh JIM adalah sebanyak 114,121 dan ia menjana kutipan wang cagaran sebanyak RM209,262,000. Manakala, kutipan hasil yang direkodkan menerusi Fi Rekalibrasi, levi, pas, visa dan proses pula berjumlah RM 331,844,264.50,” katanya.
Katanya, jumlah keseluruhan 712,435 orang PATI yang berdaftar di bawah Pelan Rekalibrasi PATI itu secara tidak langsung dapat memberikan gambaran sebenar mengenai jumlah keberadaan PATI di negara ini.
Pelan berkenaan dilaksanakan bermula 16 November 2020 hingga 30 Jun lalu oleh JIM dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi-agensi kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga. – UTUSAN










