PETALING JAYA: Sebanyak tujuh kawasan di Kedah dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melebihi dua jam sehingga pukul 3 petang ini.
Menurut perkongsian Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), tujuh kawasan itu melibatkan Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini. – UTUSAN










