7.5 tan ayam sejuk beku seludup dirampas - Utusan Malaysia

7.5 tan ayam sejuk beku seludup dirampas

MOHD. Nasir Deraman (tiga dari kanan) menunjukkan ayam beku yang dirampas di dalam sebuah lori di tepi Jalan Taman Persiaran Indah, Kampung Berdang dekat Jeli, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ untuk membawa sebanyak 7.5 tan ayam sejuk beku bernilai RM30,000 dari Thailand ke Lembah Klang tidak berhasil apabila lori yang dipandunya ditahan di tepi jalan di Taman Persiaran Indah, Kampung Berdang dekat Jeli awal pagi tadi.

Suspek yang berusia 33 tahun itu dicekup kira-kira pukul 2.40 pagi selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan yang dijalankan menggunakan lori tersebut.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, menerusi intipan yang dijalankan, lori yang dipandu suspek didapati berada di sebuah pangkalan haram di Jeli sebelum sekumpulan penyeludup dilihat memunggah longgokan kotak ayam sejuk beku di tepi sungai ke dalam kenderaan tersebut.

Menurutnya, penyeludup mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memasukkan sebanyak 500 kotak ayam sejuk beku ke dalam lori itu sebelum kenderaan tersebut keluar dari kawasan pangkalan haram.

“Pegawai dan anggota JKDM terus menahan lori tersebut dan mendapati sebanyak 500 kotak ayam sejuk beku dengan bertanda logo halal dari negara jiran berada di ruang penyimpanan barangan.

“Siasatan mendapati, kesemua ayam sejuk beku itu diseludup masuk melalui sungai. Suspek dipercayai akan menghantar ayam sejuk beku itu ke Lembah Klang untuk jualan di pasaran di sana,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.

Mohd. Nasir memberitahu, suspek dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan tersebut dan dia turut dibayar upah atas tugas yang dilakukannya.

Katanya, lori dan 500 kotak ayam sejuk beku dirampas manakala suspek dibebaskan dengan jaminan JKDM dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya