KUALA LUMPUR: Cubaan kira-kira 100 peserta Perhimpunan Turun Harga Barang berarak menuju ke Dataran Merdeka dihalang polis.
Bagaimanapun perhimpunan yang berlangsung kira-kira pukul 2 petang yang turut disertai beberapa parti politik daripada pembangkang antaranya PKR, DAP, Muda dan Amanah itu berlangsung dengan aman.
Perhimpunan berkenaan dipercayai dianjurkan Gabungan Mahasiswa bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Antara pemimpin yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap perhimpunan tersebut adalah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli.
Sepanjang tempoh itu, peserta mengulang kembali lima tuntutan mereka terhadap kerajaan iaitu menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri dan menuntut agar bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, mereka juga menuntut agar kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada serta tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi yang lain.
Mereka juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan dan makanan kafeteria dan vendor di dalam universiti kerana berlakunya peningkatan harga makanan yang mendadak.
Terakhir mereka juga menuntut pihak kerajaan menyelesaikan masalah jaminan makanan (food security).
Dalam perhimpunan berkenaan beberapa laluan menuju ke Dataran Merdeka di Jalan Tuanku Abdul Rahman ditutup pihak berkuasa sebelum membentuk dua lapisan rantaian manusia bagi menghalang peserta meneruskan perarakan.
Bagaimanapun perhimpunan diteruskan di tengah-tengah jalan sekitar 30 minit sebelum peserta bersurai pada pukul 3 petang. – UTUSAN










