5 negeri dikuasai UMNO perlu pinda RUU Lompat Parti

5 negeri dikuasai UMNO perlu pinda RUU Lompat Parti

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO berharap semua kerajaan negeri  membuat pindaan terhadap perlembagaan sejajar dengan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu harus dilakukan terutamanya negeri-negeri yang dikuasai oleh UMNO seperti Melaka, Perak, Johor, Perlis dan Pahang bagi membolehkan undang-undang yang sama dilaksanakan.

Menurutnya, perkara itu juga akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ( MKT ) UMNO pada 4 Ogos ini selepas RUU tersebut diluluskan dengan sebulat suara.

“Kita berharap semua kerajaan negeri akan mengikuti langkah yang diambil oleh Ahli-Ahli Parlimen dengan menyokong pindaan  tersebut, terutamanya kelima-lima negeri yang  dikuasai  oleh UMNO.

“Ini kerana dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga berlaku lompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (SMA) An-Nur, Benut, dekat sini hari ini.

Kelmarin Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat,  Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas pengundian belah bahagian dijalankan.

Seramai 209 Ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan yang antara lain boleh menyebabkan seseorang Ahli Parlimen hilang kerusi dimenanginya jika bertukar parti.

Seramai 11 Ahli Parlimen tidak hadir dan  54 orang terlibat  dalam perbahasan selama dua hari itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap ada penyeragaman antara kerajaan Persekutuan dan negeri supaya tiada lagi pihak yang cuba mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundi dengan berpindah ke parti lain.

Beliau juga berharap dengan pindaan perlembagaan tersebut, landskap politik negara akan dihormati kerana  tiada lagi tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan oleh ahli-ahli politik selepas ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya