PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar lima makmal memproses dadah dengan rampasan pelbagai jenis bahan larangan itu dianggarkan bernilai RM8 juta pada 8 Julai lalu.
Modus operandi yang digunakan mereka adalah menggunakan kediaman sebagai makmal memproses dadah sebelum diedarkan bagi pasaran Lembah Klang sejak Februari lalu.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya ketamin, eramin 5 dan ekstasi.
Kata beliau, dadah yang dirampas akan diedarkan bagi pasaran sekitar Lembah Klang dan boleh menampung keperluan 502,257 penagih.
“Dalam serbuan sama polis menahan 11 individu berusia antara 22 hingga 38 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti memproses dan mengedar dadah berkenaan.
“Mereka yang ditahan terdiri sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, semakan juga mendapati dua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan dadah.
Katanya, polis menyita pelbagai aset sindiket termasuk lapan kenderaan bernilai RM522,800 selain wang tunai RM20,330 dan barang kemas bernilai RM39,201.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket,” jelasnya. – UTUSAN











