BALIK PULAU: Polis menahan lima lelaki di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas di sini semalam kerana dipercayai terlibat memproses dan membungkus air ketum.
Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, kesemua suspek berusia 29 hingga 37 tahun itu dipercayai memproses dan membungkus air ketum di rumah berkenaan.
”Dalam serbuan tersebut, Polis Barat Daya menemukan 200 bungkus disyaki air ketum yang siap diproses, dua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum anggaran berat 10 kilogram serta alat-alat untuk memproses dan membungkus air ketum.
”Beberapa batang pokok ketum yang ditanam berhampiran rumah terbabit turut ditebang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Sek 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN










