37 ekor anjing liar ditangkap di Tumpat

37 ekor anjing liar ditangkap di Tumpat

PEGAWAI Penguatkuasa MDT menunjukkan anjing liar yang berjaya ditangkap menggunakan perangkap di sekitar daerah Tumpat, Kelantan. -IHSAN MDT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT : Penduduk di sekitar jajahan ini yang berdepan dengan ancaman anjing liar menarik nafas lega apabila 37 ekor haiwan berkenaan berjaya ditangkap sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Majlis Daerah Tumpat (MDT) Mohd. Khairil Azmie Yusof berkata, operasi itu dilakukan berikutan jumlah aduan yang tinggi diterima  daripada orang ramai.

“Kebanyakan aduan yang diterima, haiwan ini menyalak dan menyelongkar tong-tong dan tempat pembuangan sampah untuk mencari sisa makanan sekali gus menyebabkan kawasan sekitar menjadi kotor.

“Aduan yang diterima tidak tertumpu di kawasan perumahan sahaja malah turut di kawasan kampung,” katanya.

Mohd. Khairil memberitahu, tindakan menangkap anjing liar itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, menerusi operasi itu MDT menggunakan kaedah pemasangan perangkap di kawasan dikenal pasti.

“Tindakan ini bertujuan memastikan penduduk jajahan ini dapat hidup dalam selesa dan selamat. Sepanjang tahun lalu 93 ekor anjing liar ditangkap dengan jumlah 48 aduan,” ujarnya.

Dalam masa sama Mohd. Khairil Azmie berkata, MDT meminta kerjasama pemilik anjing dapat melesenkan haiwan itu mengikut keperluan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing MDT 1989. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN