PETALING JAYA: Sebanyak 33,830 rakyat Malaysia berpeluang menebus tawaran e-baucar bernilai RM50 hingga RM100 menerusi pembelian bilik penginapan hotel secara dalam talian dari 15 Julai hingga 31 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu bertujuan menarik minat orang ramai khususnya Keluarga Malaysia untuk terus membuat tempahan bilik penginapan hotel pada harga diskaun yang istimewa.
“Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) bagi Kluster Penginapan dilancarkan dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik.
“Kerjasama strategik yang dijalinkan Tourism Malaysia bersama persatuan-persatuan disasarkan untuk merangsang kembali pemulihan industri pelancongan serta menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya pada majlis pelancaran PRE2.0 bagi Kluster Penginapan di Kuala Lumpur, semalam.
Nancy berkata, penyaluran insentif ini adalah dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat yang mana setiap penebusan adalah terhad untuk tiga kali penebusan setiap pemilik Mykad.
Sementara itu, Tourism Malaysia memaklumkan, pusat penginapan yang terlibat adalah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) yang menawarkan e-baucar di Shopee bernilai RM100 dengan nilai pembelian minimum RM150 untuk 19,900 pembeli terawal.
Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) pula menawarkan e-baucar bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM60 untuk 7,960 pembeli.
Menurutnya, Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM) menawarkan rebat bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM170 (bilik standard) atau RM210 (bilik keluarga) untuk 5,970 pembeli terawal dan tempahan boleh dibuat secara walk-in, emel atau telefon. – UTUSAN










