SEREMBAN: Sebanyak 300 beg darah yang dijangka dikumpulkan menerusi Program Derma darah anjuran Yayasan Matrix Concepts (MCF) dan Pusat Perubatan Mawar akan digunakan untuk menampung keperluan Tabung Darah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Mawar, Dr. Ong Chiew Ping berkata, sasaran 300 beg darah itu adalah yang paling optimum memandangkan setiap beg darah mempunyai jangka hayat.
“Sebenarnya kami meletakkan sasaran 450 beg darah. Bagaimanapun peningkatan aktiviti derma darah di seluruh negara dan pihak Tabung Darah HTJ memaklumkan bekalan darah untuk jenis AB yang kini berada pada paras optimum, jadi kami telah kurangkan kepada 300 beg darah.
“Setiap satu beg darah mampu menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga nyawa dan ia mempunyai jangka hayat bagi mengelak pembaziran yang mana satu beg darah bertahan 35 hingga 42 hari, platlet lima hari dan plasma dua tahun,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah di Pusat Perubatan Mawar, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concept, Datuk Seri Lee Tian Hock; Penasihat MCF, Datin Seri Yong Chou Lian dan Pengerusi MCF, Datuk Noordin Yatib.
Chiew Ping berkata, program tersebut diadakan dua hari bermula hari ini selepas negara memasuki fasa peralihan endemik ekoran terhenti selama setahun akibat pendemik Covid-19.
“Kali terakhir ia dijalankan pada bulan Jun 2020 dan kami berjaya mengumpul sebanyak 442 beg darah,” katanya.
Jelas Chiew Ping, setiap penderma darah perlu mengambil ujian saringan termasuk pemeriksaan hemoglobin dan tekanan darah.
“Sekiranya mengalami demam, batuk serta selsema perlu menunggu enam hari manakala yang menjalani pembedahan perlu menangguhkan derma darah selepas enam bulan.
“Bagi pesakit Covid-19 perlu menunggu 10 hari yang ingin menderma darah perlu menunggu 10 hari selepas pulih sepenuhnya manakala bagi kontak rapat pula, mereka boleh berbuat demikian selepas tamat tempoh kuarantin dalam tempoh tujuh hari,” katanya lagi.
Sementara itu, Tian Hock berkata, Matrix Concepts menyeru orang ramai mengambil peluang tersebut untuk menderma darah sebagai salah satu tanggungjawab sosial dan diharapkan kerjasama dengan Pusat Perubatan Mawar dapat diteruskan pada masa depan.
Bagi seorang penderma, Norhasmaliza Shamsudin, 39, ini adalah pengalaman keduanya menderma darah untuk keperluan golongan yang memerlukannya.
“Niat saya memang mahu derma darah kepada orang ramai, mungkin sebelum ini saya tidak mempunyai kesedaran mengenai derma darah pada usia muda. Namun, pada usia begini tidak mematahkan semangat saya untuk menderma bagi menyumbang kepada orang ramai yang memerlukannya,” katanya. – UTUSAN










