30 ekor haiwan rayau 'diberkas' MPKB-BRI - Utusan Malaysia

30 ekor haiwan rayau ‘diberkas’ MPKB-BRI

ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI menangkap kambing yang berkeliaran di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu kelmarin. - FOTO IHSAN MPKB-BRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menangkap 30 ekor haiwan ternakan terdiri daripada kambing dan lembu yang berkeliaran di sekitar bandar ini sejak awal Januari hingga kelmarin.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, tangkapan tersebut dilakukan di sekitar kawasan Lembah Sireh dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan beberapa kawasan lain di bawah seliaan pihaknya selepas menerima rungutan penduduk setempat.

“Terbaharu kita menerima aduan haiwan itu menimbulkan kacau ganggu di tempat awam terutama kepada pengunjung di kawasan PCB. Hasil operasi tersebut MPKB-BRI menangkap enam ekor kambing yang melibatkan empat dewasa betina, seekor anak jantan dan seekor anak betina.

“Kesemua haiwan-haiwan ini dibawa ke depot kurungan di Pejabat Majlis Cawangan Perkhidmatan Perbandaran di Panji di sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rosnazli memberitahu, pemilik lembu boleh dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 untuk seekor haiwan dengan kos simpanan RM100 sehari.

Katanya, bagi kambing dan biri-biri pula, pemilik berdepan kompaun sebanyak RM500 seekor dan kos simpanan RM50 sehari.

“Haiwan tersebut akan dilupuskan dalam tempoh tujuh hari sekiranya tidak dituntut. Selain itu, MPKB-BRI tidak bertanggungjawab sekiranya haiwan ternakan cedera, cacat atau mati semasa operasi tangkapan dijalankan.

“Sehubungan itu, penduduk yang menternak lembu atau kambing disarankan untuk menambat haiwan mereka bagi mengelak ia memasuki dan mengotorkan satu-satu kawasan. Bukan itu sahaja haiwan ternakan yang berkeliaran turut mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya tidak kira siang atau malam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN