KUBANG PASU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meletakkan semua anggotanya di setiap daerah dalam keadaan berjaga-jaga sebagai persediaan terutama di kawasan berisiko kepala air dan banjir kilat.
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaakob berkata, pihaknya mengkaji demografi dan profil kawasan terlibat terutama yang mempunyai sejarah bencana itu bagi memperkemas operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Apabila dapat maklumat daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi serta Jabatan Pengairan dan Saliran, APM daerah-daerah akan memantau 24 jam kawasan-kawasan ini kerana hidrografi juga daripada sumber itu tentang kemungkinan berlaku banjir dan kepala air.
“Sebagai contoh di Yan, kelmarin kita dapat maklumat air naik dan kita terus hantar anggota untuk memantau,” katanya
Beliau menyatakan demikian ketika hadir dalam Eksesais SAR APM Kedah di Taman Rekreasi Bukit Wang, Jitra di sini.
Kata Awang Askandar, pemantauan khusus diberikan di beberapa lokasi air terjun yang menjadi tarikan ramai seperti di Lata Mengkuang di Sik, Bukit Hijau di Baling, Sedim di Kulim dan Tupah di Merbok.
“Mengenai hotspot ini, kami melihat daripada kejadian sebelumnya, contoh di kawasan ini (Bukit Wang) sebab pernah berlaku kejadian kepala air. Daripada situ kita ambil demografi dan profiling.
“APM juga menasihatkan orang awam yang ingin berkunjung ke kawasan rekreasi supaya merujuk kepada pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah atau agensi berkaitan bagi mendapatkan informasi berkaitan keadaan di tempat itu terutama yang ada sejarah kepala air,” katanya.
Menyentuh tentang eksesais itu, beliau berkata, ia juga sebagai salah satu usaha memperkemas dan menambah baik pengurusan bencana termasuk operasi SAR dalam menghadapi bencana alam seperti kepala air atau banjir.
“Eksesais kali ini melibatkan Zon Utara meliputi Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Padang Terap dan Yan melibatkan seramai 67 anggota dan 20 jurulatih. Latihan ini adalah inisiatif APM yang setiap tahun menghadapi kejadian kepala air agar ada beberapa penambahbaikan dalam segmen menyelamat.
“Dalam eksesais ini juga, kita tambah baik dari segi pengaturan pasukan khusus untuk memudahkan pergerakan mereka dan mempercepat pasukan SAR ke lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, APM turut mengambil iktibar daripada dua kejadian kepala air di Yan dan Baling baru-baru ini dalam memastikan pengurusan SAR lebih pantas dan cekap.
“Kita juga mempunyai empat platun yang akan digerakkan ke kawasan bencana iaitu seramai 120 anggota. Bila ramai anggota pergerakan semakin licin dan memudahkan operasi SAR,” katanya. –UTUSAN










