20 mangsa kebakaran suram sambut Aidiladha

20 mangsa kebakaran suram sambut Aidiladha

KEADAAN salah sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Panji, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 20 orang daripada empat keluarga terpaksa menyambut Aidiladha tahun ini  dalam suasana suram  apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Panji di sini, hari in.

Bagaimanapun kebakaran yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Menurut salah seorang mangsa, Sulaini Said, 55, dia dan isteri serta enam orang anak tinggal sehelai sepinggang selain tidak dapat menyelamatkan dokumen penting dalam kebakaran itu.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada isterinya, Johana Mohammad, 49, yang memaklumkan rumah mereka hangus dijilat api dalam kebakaran tersebut.

“Saya yang ketika itu berada di Bukit Payung, Marang panik memikirkan nasib ahli keluarga yang berada di rumah dan perasaan sedih semakin menebal sebaik melihat rumah sudah menyembah bumi.

“Semua dokumen penting gagal diselamatkan manakala barang kemas hampir RM6,000 dan wang tunai lebih RM2,000 turut musnah akibat kebakaran itu.

“Kami belum tahu lagi akan berteduh di mana buat masa ini, gelap gambar nak sambut raya, Ahad ini. Namun saya bersyukur isteri dan anak-anak sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya dengan kekuatan tiga jentera, 21 anggota dan dua pegawai kanan tiba di lokasi pukul 11.34 pagi.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, tiga daripada rumah terlibat sudah musnah 100 peratus manakala sebuah rumah lagi hangus 25 peratus di bahagian dapur.

“Kerja-kerja memadam api kebakaran berdepan kesukaran dengan jarak satu rumah ke rumah yang lain terlalu dekat selain ketiadaan akses untuk jentera masuk ke tempat kejadian.

“Api hanya berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak kami masih menyiasat punca kejadian,” tambahnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN