2 maut, 2 cedera Proton Wira terbabas, terjunam dalam longkang - Utusan Malaysia

2 maut, 2 cedera Proton Wira terbabas, terjunam dalam longkang

DUA maut, manakala dua lagi cedera selepas Proton Wira dinaiki mereka terbabas merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam longkang di Danga Bay, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan lalu terjunam ke dalam longkang di Kilometer 14.3, Lebuhraya Iskandar Sultan, berhampiran Hotel Tune, Danga Bay, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kemalangan berkenaan dilaporkan berlaku pada pukul 2.05 pagi.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kenderaan jenis Proton Wira dinaiki empat sekawan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang dipenuhi air menyebabkan tenggelam.

“Mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang hadapan kenderaan yang masing-masing berusia 18 tahun, manakala dua penumpang belakang, iaitu seorang lelaki berusia 16 tahun dan seorang perempuan berusia 15 tahun cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rupiah berkata, mayat kedua-dua mangsa lelaki tersebut dikeluarkan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, manakala dua penumpang belakang yang cedera berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Penumpang lelaki yang cedera mengalami patah kaki di bahagian paha kanan manakala penumpang perempuan cedera di bahagian kepala dan paru-paru.

“Kedua-dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar memberitahu, seramai 11 pegawai dan anggota berserta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN