IPOH: Sebanyak tujuh kematian kes malaria dilaporkan Kementerian Kesihatan berlaku di seluruh negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, daripada jumlah itu, enam merupakan kematian melibatkan jangkitan malaria zoonotik manakala satu kes melibatkan jangkitan manusia yang berlaku di luar negara dan dibawa masuk ke negara ini.
Menurut beliau, meskipun terdapat kematian melibatkan pesakit malaria di negara ini keadaan masih terkawal dan orang ramai diminta agar tidak bimbang ekoran Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha mengawal penyakit tersebut.
“Sehingga minggu epidemik (ME) ke-27, hanya ada tujuh kematian dilaporkan iaitu satu di Johor, Pahang dan Sarawak manakala masing-masing dua kes di Terengganu dan Sabah.
“Orang ramai tidak perlu bimbang namun pada masa sama kita tidak boleh leka. Kita (Kementerian Kesihatan) sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa malaria masih wujud dan kebanyakannya adalah kumpulan zoonotik yang mana perumahnya adalah haiwan iaitu monyet dan kera,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru di sini hari ini.
Noor Azmi berkata, sebanyak 1,447 kes malaria dilaporkan bagi tempoh sama iaitu 2 Januari sehingga 9 Julai lalu dan 1,311 kes merupakan malaria zoonotik dan 136 kes pula malaria melibatkan jangkitan manusia melibatkan kes import dan introduce.
Katanya, Sabah merupakan negeri tertinggi mencatatkan kes malaria sebanyak 786 kes iaitu 782 daripadanya merupakan kes malaria zoonotik dan diikuti Sarawak sebanyak 390 kes dan Kelantan 72 kes yang dilaporkan.
Noor Azmi menyarankan semua syarikat yang terlibat di dalam perusahaan berkaitan dengan perladangan dan perhutanan agar membuat ujian saringan secara berkala terhadap pekerja mereka yang berisiko akibat gigitan nyamuk ketika bekerja di dalam hutan.
“Bagi mereka yang duduk lama dalam hutan untuk memburu atau berkelah, pakailah pakaian pelindung, guna ubat pelindung, dan kalau lama dalam hutan saya galakkan mereka gunakan kelambu berubat.
“Mereka yang punya simptom seperti demam menggigil dan berpeluh serta sakit kepala dan otot segeralah mendapatkan rawatan dan menjalani ujian bagi mengelakkan kematian yang mungkin berlaku akibat komplikasi,” katanya. – UTUSAN