PETALING JAYA: Sebanyak 121 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian hampir RM5.17 juta di seluruh negara.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 22 kertas siasatan dibuka.
Kata beliau, Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi dengan 48 laporan diikuti Selangor (30 laporan), Pahang (18 laporan) dan masing-masing enam laporan di Johor, Perak, Kelantan.
“Di kedah, sebanyak tiga laporan diterima manakala dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang.
“Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu RM2.07 juta diikuti Pahang (RM1.2 juta) dan Selangor (RM956,300),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, di Kelantan pula mencatatkan kerugian RM280,000 diikuti Perak (RM203,000); Negeri Sembilan (RM170,500); Johor (RM125,000); Kedah (RM48,000); Terengganu (RM38,000) dan Pulau Pinang (RM32,000).
Pada 8 Julai lalu, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta. –UTUSAN ONLINE