JOHOR BAHRU: Sebanyak 10 gerai terbiar dan milik warga asing dirobohkan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sekitar kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, semalam.
Operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilakukan di sekitar Jalan Mashur, Jalan Desa Tropika 2/1, 2, 2/2, 1 dan Jalan Istimewa.
Hasil pemeriksaan mendapati gerai tersebut berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus selain terdapat sesetengah membuang sampah terus ke dalam sungai.
Dalam operasi tersebut sebanyak 10 gerai terbiar dan dimiliki warga asing dirobohkan dan tindakan penguatkuasaan sitaan terhadap seorang penjaja warga asing.
Menurut MBJB, gerai-gerai berkenan diberi notis pada 8 dan 9 Jun 2022 atas kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 46 (1)(a) sebelum operasi dijalankan.
Operasi tersebut melibatkan 12 anggota penguat kuasa MBJB dan enam anggota polis.
MBJB memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu akan dibuat secara berkala dan diharapkan warga bandar raya melaksanakan perniagaan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Sebarang aduan berkaitan gerai warga asing, terbiar atau kosong boleh dibuat menerusi laman sesawang mbjb.spab.gov.my. – UTUSAN










