Ziad tengok video apabila rindu ibu, adik

Ziad tengok video apabila rindu ibu, adik

ZIAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Video telatah dua adiknya yang disimpan dalam telefon bapa menjadi pengubat rindu Mohd. Ziad Hazif Shahrudin terhadap mereka yang meninggal dunia bersama ibu akibat kemalangan, Sabtu lalu.
Mohd. Ziad, 10, yang merupakan anak sulung kepada Shahrudin Aziz dan Allahyarhamah Masyitoh Ibrahim tidak menyangka mereka yang tinggal berasingan kini akan ‘berjauhan’ buat selama-lamanya.

Murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Pekaka itu berkata, hanya surah al-Fatihah yang akan menjadi hadiah kepada arwah ibu dan dua adiknya, Mohd. Ziyad Zikri dan Mohd. Ziyad Haziz.

“Sebelum ini saya anggap kami sekeluarga hanya berpisah sementara dan akan bersatu semula selepas umi dan bapa berjaya selesaikan masalah rumah tangga mereka.

“Walaupun sejak lebih lapan bulan lalu tinggal bersama bapa di Kuala Ketil dan adik-adik duduk dengan Umi di Sungai Petani, tapi saya tidak pernah melupakan mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 petang itu, kereta Proton Persona dinaiki Masyitoh dan anaknya terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Ketil di Kampung Cicar, dekat sini.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang juga guru agama di SK Kampung Selarong dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dikatakan menyertai program gotong-royong di sekolah itu.

Mayat tiga beranak itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati apabila berpelukan antara satu sama lain di kerusi penumpang belakang ketika kren menangkat naik kenderaan itu dari Sungai Ketil.

Sementara itu, Mohd. Ziad berkata, kali terakhir dia bertemu ibunya adalah pada Rabu minggu lalu semasa berada di dalam kereta di pekarangan Mahkamah Syariah Baling.

“Waktu itu umi tidak bercakap banyak seperti dalam tiga pertemuan sebelumnya, sebaliknya hanya mencium saya dan memberi wang saku sebelum beredar pulang.

“Ketika itu saya hanya berharap bapa dan umi dapat berbaik dan kami tiga beradik dapat tinggal sebumbung semula seperti sebelum ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.