Yang di-Pertuan Agong berkenan hadiri Istiadat Mengarak Panji Seri Paduka Baginda - Utusan Malaysia

Yang di-Pertuan Agong berkenan hadiri Istiadat Mengarak Panji Seri Paduka Baginda

ISTIADAT Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas kali terakhir diadakan pada 2019, Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda diadakan tahun ini selaras dengan negara memasuki fasa endemik.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Sultan Ahmad Shah berkenan bercemar duli ke tempat istiadat berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, di sini pagi ini.

Istiadat tersebut sepatutnya diadakan pada tahun lalu namun tidak dapat dilaksanakan atas faktor kesihatan ketika itu ekoran penularan pandemik Covid-19 melanda seluruh negara. Kelazimannya istiadat ini berlangsung tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan setiap raja Melayu dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu tahun pertama, ketiga dan kelima.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar serta disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ketibaan pasangan diraja itu pada pukul 8.30 pagi juga disambut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Acara perbarisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang penuh adat istiadat ketenteraan itu dibuat bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada 6 Jun lalu. Sebanyak lima panji Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen dari tiga perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. Seramai 131 pegawai dan 1,066 anggota lain-lain pangkat terlibat yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-18, Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd. Fadzly Yasin.

Keseluruhan perbarisan istiadat yang penuh gilang gemilang pada pagi ini diiringi oleh gabungan pancaragam ATM di bawah kepimpinan Mejar (DOM) Muhammad Nor Azizan Yahaya.

Sebanyak lima pesawat ATM turut membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa bendera membabitkan tiga helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Super Lynx, diketuai Mejar Jeneral Nazrul Nizam Ismail dari No.10 Skuadron TUDM dengan pesawat itu masing-masing mengibarkan Jalur Gemilang, ATM dan tiga perkhidmatan ATM.

Serentak dengan terbang lintas itu diiringi tembakan kehormatan sejumlah 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil. Penganugerahan panji-panji diraja merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya