Yah Kuchai terima diploma pada Konvokesyen UPSI

Yah Kuchai terima diploma pada Konvokesyen UPSI

AFEA Deanna Baharudean atau lebih dikenali 'Yah Kuchai' antara penerima diploma pada Istiadat Konvokesyen UPSI di Tanjung Malim semalam. - FOTO/IHSAH UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Pelakon muda, Afea Deanna Baharudean, 22, atau dikenali ‘Yah Kuchai’ merupakan antara penerima diploma daripada 825 graduan semasa sesi keenam Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.

Afea Deanna, pelajar Diploma Bahasa Inggeris di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI menerima diploma daripada ProCanselor Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Pelakon yang membintangi filem ’18 Puasa di Kampong Pisang’, ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ dan ‘Kampong Pisang Musikal Raya’ bersyukur kerana menamatkan pengajian di UPSI.

Menurutnya, fokusnya sekarang adalah untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana, sesuai dengan hasrat kedua ibu bapanya yang mahu lihat dia jadi seorang pendidik anak bangsa.

“Alhamdulillah selesai juga pengajian saya di UPSI. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya dan pensyarah di universiti serta rakan-rakan yang banyak membantu perjalanan pengajian saya di sini.

“Pada awalnya agak susah saya nak sesuaikan diri kerana saya dari luar bandar, membesar dalam suasana kampung dan tak biasa dengan persekitaran kampus. 

“Tambahan pula berjauhan dengan keluarga, namun sedikit demi sedikit, saya pelajari cara berdikari dan mula mencari kerja untuk menyara pengajian saya di sini,” katanya yang berasal dari Tanjung Piai, Johor.

Afea Deanna memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan apabila bakatnya dicungkil oleh Allahyarham Mamat Khalid ketika dia diterima bekerja secara sambilan di restoran Sarang Art Hub, Tanjung Malim milik arwah. 

Menurutnya,  bukan mudah membahagikan masa belajar sambil bekerja, namun Afea Deanna ada formula dan kaedah belajar caranya tersendiri.

“Cara saya belajar adalah dengan memberi tumpuan penuh dalam kelas, rutin harian saya ialah pergi kelas, habis kelas, pergi kerja. 

“Balik kerja manfaatkan masa selebihnya untuk selesaikan tugasan sebelum tidur. Keesokan harinya masuk kelas macam biasa seperti rakan-rakan mahasiswa yang lain, Alhamdulillah semuanya ok saja,” katanya.

Dilahirkan bukan dari keluarga yang senang, anak ketiga daripada lapan orang adik beradik itu  sudah terdidik untuk memahami suasana kehidupan,

“Bapa menggalas tugas berat menyara keluarga selepas ibu terpaksa berhenti kerja beberapa tahun lalu kerana menjaga arwah adik bongsu yang sakit sebelum meninggal dunia baru-baru ini,” katanya yang masih bersedih di atas kehilangan adiknya, Aizzuddean Baharudean, beberapa minggu sebelum istiadat konvokesyen.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya