PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO menggesa satu tribunal khas bagi menyiasat Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali serta keputusan-keputusan yang dibuat oleh beliau terutama berkaitan kes-kes berprofil tinggi.
Sehubungan itu, Ketua Pergerakannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tribunal khas itu boleh diwujudkan berdasarkan peruntukan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan bagi menyiasat sebarang salah laku dan pelanggaran etika kehakiman.
“Pergerakan Pemuda UMNO memandang berat pendedahan berkaitan Hakim Mohd Nazlan berhubung tuduhan penglibatan beliau dalam penubuhan SRC International, walhal beliau juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas (Bekas Perdana Menteri), Datuk Seri Najib Razak dalam kes bersabit syarikat yang sama.
“Kedudukan Datuk Mohd. Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan. Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Datuk Seri Najib, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau.
“Ini bertentangan dengan fakta kes bahawa kononnya RM42 juta itu datang daripada pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang diluluskan ketika Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.
“Pemuda UMNO juga memandang serius berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas wang sebanyak RM1 juta di dalam akaun Hakim Mohd. Nazlan yang telahpun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Namun, masih belum ada sebarang tindakan daripada pejabat Peguam Negara berkenaan kertas siasatan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Menurut Asyraf Wajdi, kesemua perkara itu boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang.
Ekoran itu, katanya, sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia mana-mana Hakim yang sedang mendengar sesuatu kes perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut jika mendapati ia sedang berada di dalam keadaan konflik kepentingan dengan kedudukannya samada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim.
“Pemuda UMNO bertegas untuk tidak akan mempertahankan mana-mana pihak yang bersalah. Namun, kami percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat telah dilaksanakan.
“Tidak wajar sama sekali sebarang bentuk kepincangan dalam proses mendapatkan keadilan dikompromikan. Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan,” jelasnya. – UTUSAN