Wujudkan barisan pelapis pejuang bahasa - Radzi - Utusan Malaysia

Wujudkan barisan pelapis pejuang bahasa – Radzi

RADZI Jidin merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka dan pelancaran Jendela DBP di Wisma DBP. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mewujudkan barisan pelapis pejuang bahasa harus dilakukan bagi memastikan kesinambungan dalam konteks pembangunan bahasa kerana ia akan sentiasa berubah mengikuti zaman.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, negara tidak boleh menghadapi satu kelompongan apabila ketiadaan barisan pejuang bahasa di dalam kalangan generasi baharu.

Menurut beliau, perasaan untuk mendalami dan menjiwai bahasa Melayu perlu diterapkan di dalam diri generasi baharu supaya bahasa kebangsaan itu berkembang mengikut peredaran zaman.

“Pada hari ini, apa paling penting adalah untuk mewujudkan satu barisan pelapis pejuang bahasa yang mengambil kira keadaan semasa, jadi boleh duduk bersama pejuang bahasa sedia ada untuk memartabatkan bahasa dan memastikan kesinambungan pembangunannya.

“Kita perlu pastikan pembangunan bahasa itu adalah selari dengan peredaran zaman. Banyak perkara sedang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai usaha memartabatkan bahasa, namun begitu kita perlu melihat melalui konteks yang lebih luas melibatkan seluruh peringkat untuk memastikan kesinambungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke 66 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelancaran Jendela DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP di sini hari ini.

Mengulas mengenai Jendela DBP, Radzi berpendapat bahawa pelantar digital berkenaan bukan sahaja mampu menarik perhatian anak muda tetapi juga pelbagai lapisan masyarakat.

Jelasnya, Jendela DBP yang dibangunkan oleh DBP itu menandakan badan berkenaan tidak melepaskan peluang untuk mengambil pendekatan bagi memastikan bahawa mereka tidak ketinggalan dalam konteks pembangunan industri digital ini.

“DBP menyediakan pelbagai bahan di Jendela DBP yang boleh diakses oleh pelbagai pihak. Ada macam-macam maklumat, majalah, berita semasa, manuskrip berkaitan dan juga bahan yang boleh dibeli secara dalam talian melalui pelantar digital ini.

“Ini merupakan pendekatan digunakan oleh DBP selepas mengambil kira bahawa akses yang mudah itu akan memastikan setiap bahan bacaan atau ilmu ini akan terus relevan dan boleh menarik minat pelbagai pihak termasuk golongan muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN